Penguatkuasaan Akta 342 diperluas kepada Penguatkuasa KPDNHED

Azman Adam (file pic)

PUTRAJAYA, 16 Jan: Penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342) kini diperluaskan kepada pegawai Pnguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merangkumi aspek penguatkuasaan pemeriksaan dan pengkompaunan di bawah akta tersebut.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, dibawah akta tersebut semua pegawai penguatkuasa telah diberi kuasa untuk memastikan pematuhan SOP PKP berhubung aktiviti-aktiviti dilarang yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, penurunan kuasa terbabit berpandukan tiga aspek mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.11)(No. 12) dan (No.8) Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.


“KPDNHEP telah menggariskan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta ini dengan menetapkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP PKP, tindakan mengenakan kompoun sebanyak RM1,000.00 boleh dikenakan.

“Pelaksanaan kebenaran membuka Sektor Perdagangan Pengedaran supaya terus beroperasi dalam tempoh Perintah kawalan Pegerakkan (PKP) ini, adalah demi menjaga keseimbangan ekosistem dan kelangsungan ekonomi yang memerlukan aktiviti urus niaga diteruskan beserta kawalan penguatkuasaan dan pematuhan SOP PKP,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakkan tegas termasuk melaksanakan penutupan premis akan dilakukan sekiranya didapati terdapat peniaga yang gagal mematuhi peraturan terbabit.

Justeru, KPDNHEP katanya menasihati dan memberi ingatan kepada semua pihak agar dapat memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya sepanjang tempoh tersebut.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan Sektor Perdagangan Pengedaran tidak menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19,” katanya.

Azman berkata, KPDNHEP juga konsisten bertanggungjawab mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas.

Ini secara tidak langsung sdapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di pasaran.

“Penyeliaan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan barangan pengguna dalam tempoh pandemik Covid-19,”katanya – DayakDaily