LAWAS, 6 Nov: Seorang penghuni di sebuah rumah di Kampung Temangis, Jalan Gaya di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran tengahari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, dalam kejadian 12.11 tengah hari ini, penghuni rumah terbabit berjaya menyelamatkan dirinya tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, penghuni rumah tersebut menyedari kebakaran berlaku bermula daripada bahagian siling rumah itu sebelum merebak ke bahagian lain rumah jenis tidak kekal itu.
“Penghuni rumah tersebut bertindak keluar dari rumah berkenaan dengan kadar segera selepas dia menyedari terdapat api di bahagian siling rumahnya itu.
“Api merebak sedikit pantas disebabkan struktur rumah jenis tidak kekal tersebut dibuat mengunakan kayu,” katanya menerus satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Bomba mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengawal api sebelum operasi tersebut ditamatkan jam 2. 24 petang.
“Rumah terbabit yang dianggarkan seluas kira-kira 600 kaki persegi musnah 100 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily