Penghuni asrama anak yatim cemas, bilik terbakar

Kelihatan keadaan sebuah asrama yang terbakar.
Advertisement

KUCHING, Julai 20: Penghuni asrama lelaki di Kompleks Laila Taib di sini berdepan detik mencemaskan apabila berlaku kejadian kebakaran di asrama anak-anak yatim berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Jurucakap bomba memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 12.38 tengah hari.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, komander operasi melapor kebakaran melibatkan sebuah katil bertingkat jenis kayu, satu unit tilam dan merebak ke bahagian dinding serta bahagian bumbung telah terbakar kira-kira 20 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap bomba menambah, anggaran keluasan bilik asrama itu ialah 40 kaki X 20 kaki.

Katanya, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan oleh penghuni asrama menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering sebelum ketibaan pihak bomba.

“Pihak bomba bertindak membuat pemantauan di sekitar dalam bilik asrama untuk memastikan api padam sepenuhnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement