Pengguna jalan raya diminta berhati-hati dekat Bulatan G4 di Kota Samarahan

Notis Bulatan G4 Kuching/ Samarahan/ Asajaya Expressway (Q14) terbabit akan menjalani kerja pembaikan.

KUCHING, 2 Sept: JKR Sarawak meminta pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui bulatan berhampiran D-Virtual Park di Kota Samarahan yang akan menjalani kerja pembaikan permukaan jalan bermula hari ini sehingga 1 Okt depan.

Dalam notis jabatan itu, Bulatan G4 Kuching/ Samarahan/ Asajaya Expressway (Q14) terbabit akan menjalani kerja pembaikan sepanjang tempoh itu mulai jam 8 malam sehingga jam 4 pagi setiap hari.

“Pengguna jalan raya diminta berhati-hati semasa memandu di jalan tersebut semasa tempoh pembaikan ini dan mematuhi segala pengurusan trafik untuk keselamatan dengan perhatian khusus apabila lorong jalan ditutup separuh,” menurut notis itu yang disiarkan di laman Facebook ‘Corporate Communication JKR Sarawak’ hari ini.


Jabatan itu memaklumkan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh terbabit, waktu atau kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja berkenaan dan menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan di kawasan yang terlibat.

Manakala sekiranya terdapat sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan dengan aliran trafik di kawasan tersebut, bolehlah berhubung dengan Pejabat JKR Bahagian Samarahan melalui talian 082-672 816 pada waktu pejabat dan CMS Quarries Sdn Bhd (016-864 8903) selepas waktu pejabat. — DayakDaily