Pengarah syarikat rugi RM120,000, tertipu dengan pesanan Kerajaan

Dato Mancha Ata
Advertisement

KUCHING, 20 Jan: Seorang pengarah sebuah syarikat di Bintulu kerugian RM120,000 selepas ditipu berkenaan pesanan kerajaan awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata lelaki berusia awal 60an terbabit menerima mesej WhatsApp dari seorang individu yang mengatakan dirinya dari sebuah Jabatan Kerajaan di Miri.

Katanya, mangsa turut dihantar satu dokumen pesanan kerajaan untuk mendapatkan “Polycarbonate Natural Anodized Aluminium Sliding Window” dari syarikat mangsa bagi kerja-kerja menaiktaraf sebuah pejabat kerajaan di Niah, Miri.

Advertisement

“Suspek turut memberitahu mangsa barangan tersebut mestilah jenama ‘Jeng Cheng’ dan hanya boleh dibeli dari satu pembekal di Miri.

“Mangsa kemudian menghubungi nombor telefon pembekal yang diberikan suspek untuk melakukan pembelian dan kemudian dia melakukan tiga transaksi pemindahan wang berjumlah RM120,000 ke satu akaun milik individu tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa hanya menyedari diri ditipu setelah barangan yang dibeli dan pesanan kerajaan seperti yang dijanjikan suspek masih belum diterima.

“Mangsa turut mendapat pengesahan dari Jabatan Kerajaan terlibat dan dimaklumkan tiada berurusan dengan beliau untuk kerja-kerja menaiktaraf pejabat,” katanya.

Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat serta denda. — DayakDaily

Advertisement