Pengarah syarikat rugi RM1.5 juta, sertai pelaburan tidak wujud

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

KUCHING, 31 Mei: Seorang pengarah di sebuah syarikat hartanah rugi RM1.5 juta kerana diperdaya dengan pelaburan di TikTok.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata wanita berusia 66 tahun itu mulanya berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook pada awal bulan April.

Katanya, mangsa telah dilamun cinta sehingga suspek mengambil kesempatan dengan mengajaknya membuat pelaburan di TikTok.


“Kenalanya itu kemudiannya telah mengajak mangsa untuk mengikutnya dalam satu pelaburan perniagaan di TikTok dan mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan pulangan yang tinggi.

“Diantara tarikh 14 April sehingga 29 Mei, mangsa telah membuat 185 transaksi pembayaran kepada 21 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM1.5 juta,” katanya dalam satu kenyataa, hari ini.

Mangsa muka mencurigai dirinya ditipu apabila tidak pernah mendapat keuntungan hasil pelaburan tersebut.

Malah suspek dikatakan terus menerus meminta wang darinya
menyebabkan mangsa terus membuat laporan polis semalam. — DayakDaily