Penganut Kristian Sarawak digalakkan bermurah hati dengan sumbangan, persahabatan

Gambar ucapan Krismas dan tahun baru Baru Bian yang dikongsikan menerusi laman Facebook PKR Sarawak.

KUCHING, Dis 23: Menteri Kerja Raya, Baru Bian mahu penduduk negeri ini yang menyambut perayaan Krismas supaya memberi sumbangan kepada golongan memerlukan dan menawarkan persahabatan dengan semua orang tanpa mengira latar belakang dan agama mereka.

“Ini adalah lebih penting sekarang kerana terdapat banyak orang yang amat memerlukan bantuan di sebabkan oleh kemerosotan ekonomi. Berkongsi apa yang kita ada dengan orang lain bukan sahaja semasa musim Krismas; kerja yang baik mesti dilakukan apabila kita melihat terdapat keperluan di sekeliling kita,” katanya dalam ucapan Krismas dan tahun barunya yang dikongsikan di laman facebook Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak baru-baru ini.

Baru yang juga pengerusi PKR Sarawak berkata pemberian tersebut juga tidak terhad kepada pemberian barang-barang tetapi boleh diperluaskan kepada karunia pelayanan dan persahabatan kepada orang disekeliling.

“Di dalam komuniti kita yang pelbagai kaum dan etnik, adalah penting untuk memupuk keharmonian dan pemahaman budaya dan amalan masing-masing, dan cara yang baik untuk melakukan itu adalah dengan menawarkan persahabatan kepada orang-orang di sekeliling kita,” katanya.

Tambahnya kehidupan moden dan gaya hidup yang sibuk dan tambahan dengan niat mempolitikkan isu-isu tertentu seperti kaum dan agama telah membawa kepada polarisasi rakyat negara ini.

“Saya percaya bahawa sebahagian besar daripada kita tidak mahu keadaan sedemikian. Kita mahu hidup di negara yang menghargai perpaduan dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata ini adalah mungkin jika rakyat Sarawak saling mendekati satu sama lain sebagai manusia dan menguatkan nilai persahabatan. — DayakDaily