Penganggur ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan dadah di Segubang, Bau

Kelihatan suspek yang ditahan dan dadah yang dirampas oleh polis.

BAU, 26 Julai: Seorang penganggur ditangkap disyaki terlibat kegiatan dadah di Kampung Segubang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditangkap dalam satu operasi diketuai Insp Mohd Said Ambotang pada jam 5.45 pagi.

Jelasnya, semasa serbuan didapati suspek berseorangan di dalam bilik di sebuah rumah dan hasil pemeriksaan tidak menemui apa-apa barang salah daripada badan suspek.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan menemukan satu paket kecil disyaki berisi dadah di atas lantai bilik berkenaan.

Katanya, suspek kemudian ditahan dan hasil saringan awal air kencing juga mendapati dia positif dadah.

Suspek akan disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan awal juga mendapati suspek terlibat dengan pengambilan dadah sejak tiga tahun yang lepas.

IPD Bau akan terus menjalankan pemeriksaan di kawasan Pekan Bau, kampung-kampung ataupun ditempat-tempat yang disyaki adanya kegiatan aktiviti dadah dalam usaha mengekang aktiviti ini berleluasa. — DayakDaily