Penerbangan Kuching-Pontianak beroperasi semula penghujung tahun ini

Lee (kiri) dan Raden (tiga dari kanan) pada sidang media di Kuching hari ini.
Advertisement

KUCHING, 20 Sept: Penerbangan terus Kuching-Pontianak bakal diaktifkan semula pada penghujung tahun ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, perkara tersebut telah diberi perhatian serius oleh pihak konsulat Indonesia di Kuching dan telah dibawa ke Jakarta untuk pertimbangan.

“Ada permintaan untuk laluan penerbangan ini beroperasi semula khususnya bagi tujuan perubatan bagi penduduk di Kalimantan.

Advertisement

“Penerbangan dari Pontianak ke Kuching adalah lebih mudah berbanding jalan darat yang mengambil masa 6 jam.

“Sebab itu kita mahu melihat penerbangan bagi laluan ini diaktifkan semula,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono.

Tambah Lee, syarikat penerbangan AirAsia sudah bersedia untuk memulakan semula penerbangan bagi laluan Kuching-Pontianak.

Pada sidang media yang sama, Raden memaklumkan bahawa pihaknya kini berusaha keras untuk memastikan laluan tersebut diaktifkan semula.

Katanya, baru baru ini Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan Indonesia telah dimaklumkan berhubung perkara tersebut.

“Kita harap ia dipertimbangkan dan kita mahu memastikan Lapangan Terbang Pontianak bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa ini.

“Pihak kita juga sudah bertemu dengan syarikat AirAsia,” jelas Raden.

Pada perbincangan itu, kedua-dua pemimpin (Lee dan Raden) bersetuju untuk memastikan laluan penerbangan Kuching-Pontianak beroperasi semula di penghujung tahun ini. —DayakDaily

Advertisement