Penerbangan Kuching ke Pontianak beroperasi semula tahun hadapan – Lee

Lee (duduk empat kiri) pada sidang media di Lundu hari ini.

LUNDU, 28 Dis: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin yakin penerbangan terus Kuching ke Pontianak beroperasi semula tahun hadapan.

Katanya, Sarawak kini hanya menunggu lampu hijau daripada Jakarta (Kerajaan Indonesia) bagi memulakan semula laluan tersebut.

“Perkara ini telah kita bincang dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, beliau kata sudah sampai ke Jakarta.


“Kita tunggu kelulusan sahaja, saya fikir tak lama lagilah, tahun hadapan saya fikir boleh,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Lundu hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat berhubung cadangan memulakan perkhidmatan bas penumpang dari Kuching ke Singkawang yang turut dihadiri Witjaksono.

Menurut Lee, laluan penerbangan tersebut telah diberi perhatian serius oleh pihak konsulat Indonesia di Kuching.

Manakala syarikat penerbangan AirAsia sudah bersedia untuk memulakan semula penerbangan bagi laluan Kuching-Pontianak.

Terdapat permintaan untuk laluan penerbangan ini beroperasi khususnya bagi tujuan perubatan bagi penduduk di Kalimantan. ā€” DayakDaily