Penerbangan ditunda, pengguna berhak tuntut pampasan — Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 9 Mei: Pengguna perkhidmatan penerbangan yang terkesan akibat penundaan jadual atau pembatalan penerbangan berhak menuntut pampasan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di laman rasmi Twitter beliau berkata, tuntutan hendaklah berdasarkan punca penundaan atau pembatalan.

“Berdasarkan maklumat dari The Malaysian Aviation Commission (MAVCOM), pampasan ini mungkin merangkumi aspek makanan, panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih.

“Penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih, pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan anda dibatalkan,” kata Nanta.

Tambah beliau lagi, satu-satunya pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu keadaan luar biasa.

Katanya, ia termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.

“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM,” ujar Nanta.

Menerusi hantaran itu, Nanta ambil maklum mengenai rungutan, aduan dan keluhan yang disuarakan pengguna berhubung kelewatan penerbangan AirAsia, membabitkan pelbagai destinasi dalam negara.

Jelas beliau, kelewatan ini telah dikesan berlaku sejak penghujung bulan lalu dan masih berlanjutan.

“Kementerian akan terus menjalankan siasatan dari aspek kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi merungkai permasalahan ini.

“Ini demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang,” tegas Nanta. — DayakDaily