Penduduk Taman Nanas gempar dengan penemuan buaya sesat

Anggota bomba menangkap buaya sesat.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 21: Penghuni di sekitar Lorong Dahlia 3, Taman Nanas di Jalan Matang di sini gempar dengan penemuan seekor buaya sesat di situ, malam tadi.

Penemuan reptilia sepanjang 1.5 meter itu disedari oleh penduduk di taman perumahan berkenaan sekitar 11.17 malam.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan berhubung penemuan sang bedal berkenaan pada pukul 11.19 malam.

Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi penemuan untuk melakukan operasi menangkap buaya berkenaan.


“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati buaya itu sedang berlegar-legar di kawasan perumahan berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian berjaya menangkap serta mengikat buaya tersebut dan akan dibawa balik ke balai sebelum diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan seterusnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, SFC mengesahkan menerima laporan penemuan dan tangkapan buaya berkenaan.

“Buaya tersebut akan dibawa ke Pusat Hidupan Liar Matang untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily