Penduduk Simunjan bersemangat menunggu projek komersil baru bermula

Papan tanda mengenai projek Pekan Baru Simunjan 101.
Advertisement

SIMUNJAN, Dis 5: Satu papan tanda besar yang mengiklankan projek pembinaan Pekan Baru Simunjan 101 di tepi jalan menuju pekan Simunjan telah membuatkan ramai penduduk kawasan itu merasa teruja dan amat menantikan pemulaan projek berkenaan.

Papan tanda terbabit terletak berhampiran Kampung Hijrah sekitar dua kilometer dari pekan Simunjan mendedahkan butiran projek berkenaan yang merangkumi sebanyak 101 unit rumah kedai komersil dua dan tiga tingkat, kompleks komersil empat tingkat, pasar tamu, stesen petrol dan terminal bas simunjan.

Bagaimanapun papan tanda terbabit tidak menyatakan permulaan pembinaan projek berkenaan dan tempoh penyiapan pembinaannya yang selama ini dinantikan penduduk Simunjan berikutan keadaan pekan Simunjan sedia ada yang bukan sahaja sesak malahan juga diancam hakisan sungai Batang Sadong.

Advertisement

Seorang penduduk Simunjan, Prangka Sinja, 50, dari Kampung Melanjok berkata beliau baharu menyedari kewujudan papan tanda terbabit dan amat teruja menanti permulaan projek berkenaan yang bukan sahaja bakal menjadi pusat komersil baharu di Simunjan malahan pembinaanya akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk daerah terbabit.

“Bagaimanapun saya tidak tahu bila projek itu akan bermula kerana tiada maklumat itu pada papan tanda terbabit, namun berharap projek ini dapat dimulakan secepat mungkin kerana sekiranya terlalu lama, orang di sini mungkin akan berpendapat yang projek terbabit telah terbengkalai pula,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap projek terbabit akan menyediakan banyak kemudahan letak kenderaan kerana ketika ini penduduk Simunjan menetap di bandaraya Kuching atau Kota Samarahan lebih kerap pulang ke kampung halaman mereka kerana perhubungan jalan raya yang baik ke Simunjan samada melalui Jalan Gedong-Simunjan atau dari Asajaya mengunakan Jambatan Batang Sadong yang baharu siap.

Lakaran mengenai bangunan komersil Pekan Baru Simunjan 101.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 14 Jun tahun lepas, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mendedahkan kerajaan negeri merancang pembinaan Pekan Baru Simunjan bagi mengatasi masalah pasar Simunjan sedia ada yang sudah lama dalam keadaan daif dan usang.

Cadangan pembangunan Pekan Baru Simunjan terbabit melibatkan kawasan tanah kerajaan yang tidak berdaftar seluas 540 ekar dengan komponen pembangunan yang dicadangkan ialah komersial seluas 140 ekar, kediaman seluas 273 ekar, industri 112 ekar dan kemudahan awam seluas 15 ekar.

Manakala pada persidangan DUN, Nov 16, Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri dalan ucapan pengulingannya mendedahkan pihak Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (PELITA) akan menghantar cadangan pindaan pelan pembangunan Pekan Baru Simunjan kepada Majlis Perancangan Negeri(MKN) untuk pertimbangan.

Menurutnya, pelan pekan baru itu akan merangkumi komponen seperti perumahan, bangunan pejabat kerajaan dan bangunan bagi usahawan kecilan( industri kampung) dan kedai konvensional yang mampu dimiliki usahawan bumiputera tempatan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat. — DayakDaily

Advertisement