Penduduk rumah panjang terus dibantu untuk naik taraf rumah

Nanta (tengah) ketika melawat rumah panjang di ulu Yong. Turut hadir Jefferson.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KAPIT, 21 Dis: Penduduk yang tinggal di rumah panjang akan terus dibantu sama ada untuk menaik taraf rumah atau membina rumah mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bantuan tersebut disalurkan kepada penduduk terbabit menerusi peruntukan bagi program pembaikan rumah.


Katanya, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, tiga buah rumah panjang di kawasan Ulu Yong di sini telah dibantu untuk membina rumah panjang baharu bagi mengantikan rumah panjang mereka yang lama dan uzur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, selain bantuan kewangan untuk membeli bahan binaan rumah, bantuan juga disalurkan melalui penyediaan tapak bagi penduduk terlibat membina rumah mereka.

“Apabila kita sudah bantu mereka bina rumah, mereka boleh tumpukan lebih perhatian untuk bercucuk tanam yang antara lain menjadi sumber pendapatan mereka.

“Saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Goram, Jefferson Jamit akan cuba membantu mereka sehingga rumah ini siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas melawat tiga buah rumah panjang di Ulu Yong, di sini hari ini.

Antara rumah panjang tersebut adalah rumah panjang Untang Jirau, Rumah Panjang Memaloh Bayan dan Rumah Panjang Lapek Pius.

Nanta berkata, menjadi fokus beliau dan Jefferson untuk terus membantu setiap penduduk khususnya di kawasan luar bandar yang mahu membina rumah baharu atau menaik taraf rumah sedia ada.

Ujarnya, peruntukan untuk membantu penduduk terbabit sama ada disalurkan melalui Program Transformasi Luar Bandar atau peruntukan pembaikan rumah yang disediakan kepada setiap ahli Parlimen atau Adun di Sarawak.

Sementara itu, Jefferson berkata, kerjasama erat antara beliau dengan Nanta menjadi segala perancangan pembangunan serta penyaluran bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan mudah dan lancar.

“Kami tidak berkerja secara sendirian dan tidak mementingkan diri sendiri atau hanya ingin menaikkan nama sendiri sahaja terutamanya dalam memperjuangkan nasib rakyat di kawasan kami.

“Gandingan seperti ini membolehkan semua perkara khususnya dalam membantu penduduk di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.