SARATOK, Jun 21: Penduduk yang mendiami Rumah Panjang Lubok Genit di sini resah memikirkan keselamatan rumah panjang yang didiami mereka ekoran berlakunya kejadian hakisan tanah di tebing depan kediaman tersebut.
Tinjauan pihak berkuasa di sekitar lokasi kejadian mendapati masalah hakisan tanah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan keadaan hujan lebat yang berlaku sebelum itu.
Tuai Rumah Nambi berkata, kejadian yang dialami bagaikan satu ‘malapetaka’ yang boleh diundang bila-bila masa jika tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
Katanya, pihak berkuasa seharusnya membuka mata tentang masalah yang dihadapi dan tanpa perhatian serta tindakan segera diambil sudah pasti ‘malapetaka’ akan berlaku kepada penduduk rumah panjang.
“Sekiranya musim hujan terus berlarutan dan tanpa tindakan segera diambil, kesan hakisan tanah itu boleh merebak ke kawasan kediaman sekali gus merosakkan struktur rumah panjang.
“Kejadian tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa jika ia runtuh sedikit demi sedikit akibat tiada tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Yusuf Tamin memberitahu, pihaknya menerima aduan daripada tuai rumah berkenaan yang juga telah memohon bantuan pihak bomba untuk buat pemantauan setelah berlaku kejadian hakisan tanah di situ.
Katanya, hasil penilaian dan pemantauan pihak bomba didapati telah berlaku hakisan tanah di hadapan rumah panjang tersebut yang terletak berada di atas bukit dengan anggaran keluasan tanah terjejas kira-kira 7 meter lebar dan 8 meter panjang.
“Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kerosakan pada bangunan. Hasil maklumat awal juga kejadian tersebut disebabkan faktor cuaca hujan yang tidak berhenti sejak pukul 5 pagi tadi.
“Pihak CMS yang berada di tempat kejadian telah mengambil tindakan segera dengan kerja-kerja menutup hakisan tanah terjejas mengunakan kanvas plastik,” katanya. — DayakDaily