This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 14 Jun: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh pada semalam menyerahkan 62 surat hak milik tanah Sekyen 18 kepada penduduk di Rumah David Ujan Nanga Sepaya, Lubok Antu.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), penyerahan tersebut bersempena dengan Program Ziarah UKAS @ Ngabang Gawai 2023.
“Penyerahan surat hak milik merupakan langkah penting dalam memberikan kepastian hak tanah kepada penduduk,” kata Mussen yang juga Adun Batang Ai.
Turut hadir Pengarah UKAS Samuel Simon dan Tuai Rumah David Ujang.
Tambah Mussen, pelaksanaan program seumpamanya amat memberi makna kepada penduduk setempat terutama para penerima.
Katanya, program juga menjadi platform untuk kepimpinan politik, ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat bertukar pendapat, berbincang isu-isu yang berkaitan sekaligus mengukuhkan hubungan kerjasama antara satu sama lain.
Mussen turut mengumumkan kelulusan bagi peruntukan Rumah David untuk tahun 2023, iaitu sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Manakala RM20,000 kepada Ahli Jawatankuasa Gerempung Indu, RM20,000 lagi untuk Persatuan Kebajikan Ketua Masyarakat Zon Engkari dan RM150,000 untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP). — DayakDaily