Penduduk Rh Saga Unggot di Nanga Ulai, Ulu Rimbas patuhi SOP

Upacara ‘Rabat’ di Rh Saga Unggot patuhi SOP.

KUCHING, 15 Feb: Penduduk di rumah panjang terus kekal mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) ditetapkan sebagai usaha memutus penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) di Rh Saga Unggot di Nanga Ulai, Ulu Rimbas, Debak pada Ahad (14 Feb) lepas mendapati penduduk di rumah panjang itu amat menitikberatkan garis panduan semasa menerima kehadiran orang ramai yang datang untuk menziarahi keluarga Entawan Tinggi, salah seorang penghuni di rumah berkenaan yang meninggal dunia.

Selain menampal notis untuk memudahkan kehadiran orang ramai, alat pengimbas suhu turut disediakan termasuk buku catatan bagi tujuan merekodkan nama.


Tetamu yang datang menziarah juga diwajibkan menggunakan pelitup muka.

Sementara itu, Tuai Rumah Lembang Liang dari Rumah Panjang Inar, Rimbas di Debak juga turut hadir memberi penghormatan.

Beliau yang juga Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Rimbas Ulu menghulurkan sumbangan kewangan dari Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bantuan kewangan merupakan budaya dan simbolik keprihatinan penduduk setempat terhadap keluarga yang ditimpa musibah seperti kematian. — DayakDaily