Penduduk Kuching digalakkan mengunakan perkhidmatan ‘e-hailing’

Dr Sim (duduk tengah) ketika mengadakan sidang media selepas melancarkan tempat mengambil dan menurunkan penumpang GRAB di ICOM Square.

KUCHING, Mac 6: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengalakkan penduduk bandaraya ini mengunakan perkhidmatan GRAB dan sebagainya yang lain sebagai pengangkutan bagi mengurangkan perbelanjaan mereka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian kerana ketika ini adalah lebih menjimatkan bagi penduduk bandaraya ini mengunakan perkhidmatan GRAB sebagai pengangkutan berbanding mengunakan kenderaan sendiri.

“Ini kerana orang ramai akan berbelanja purata sehingga RM10,000 setahun bagi menyelengara kenderaan mereka dan juga membayar pelbagai kos sampingan lain seperti bayaran tempat letak kereta,” katanya melancarkan tempat mengambil dan menurunkan penumpang GRAB di ICOM Square, di sini, hari ini.


Dr Sim berkata sekiranya mengunakan kenderaan GRAB, penduduk bandaraya ini bukan sahaja tidak perlu membeli kereta dan membayar pelbagai kos terbabit tetapi juga tidak perlu bersusah payah memandu ke destinasi yang dituju dan kemudian perlu mencari tempat meletakkan kereta yang terhad.

“Bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kenderaan ketika ini bukanlah membina lebih banyak tempat itu tetapi mengalakkan orang ramai tidak memandu kerana ada orang lain boleh memandu bagi pihak mereka,” katanya.

Disamping itu, ketika ini sudah terdapat ribuan pengusaha kenderaan GRAB di bandaraya ini samada beroperasi sepenuh masa atau sebagai kerja sampingan yang membolehkan orang ramai memesan dan mendapat perkhidmatan pengangkutan itu dengan cepat walaupun ketika lewat malam di mana sahaja sekitar bandaraya ini.

Dr Sim bagaimanapun enggan mengulas samada kerajaan negeri ada merancang memperkenalkan sebarang peraturan bagi perkhidmatan GRAB dan sebagainya di negeri ini kerana beliau bukan menteri yang bertangungjawab berkaitan pengangkutan.

Katanya ketika ini menteri yang bertangungjawab menguruskan hal berkaitan pengangkutan di negeri ini ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri James Jemut Masing manakala di peringkat persekutuan pengangkutan GRAB dan sebagainya adalah dibawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Salah satu kenderaan pengusaha GRAB di ICOM Square.

Sementara itu, pengurus hartanah ICOM Square Louise Sim berkata pihaknya menyediakan tempat bagi pengusaha kenderaan GRAB mengambil dan menurunkan penumpang di ICOM Square supaya mengalakkan orang ramai mengunakan GRAB bagi mengunjungi kawasan itu yang ada banyak pejabat dan medan selera.

“Ini kerana walaupun ICOM Square ada 1,200 tempat letak kenderaan, kebanyakkannya digunakan mereka yang berurusan di pejabat dan masih ramai pengunjung meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.

Sehubungan itu pihaknya mengalakkan orang ramai dan rakan sekerja mereka yang mahu mengunjungi medan selera di kawasan terbabit untuk mengunakan GRAB yang bukan sahaja lebih menjimatkan kos tetapi juga masa mereka.

Bagi tujuan itu ICOM Square menawarkan 1,000 kod promosi “GRABICOM” bagi menyediakan diskaun tambang RM5 bagi orang ramai yang mengunjungi kawasan itu mengunakan GRAB dari 8 pagi hingga 8 malam selama sebulan bermula Mac 7. — DayakDaily