BETONG, Jun 25: Para penghuni yang menetap di sekitar Jalan Sie Kwang Ngak di sini dikejutkan dengan satu insiden kebakaran membabitkan sebuah blok kedai dua tingkat di situ awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 2.38 pagi itu telah mengakibatkan blok kedai dua tingkat tersebut musnah terbakar 100 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.40 pagi.
Jelasnya, sejurus menerima panggilan itu, sepasukan 10 anggota bomba telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan kedai dua tingkat berstruktur jenis kekal itu.
“Pihak bomba kemudian bertindak membuat pemadaman serta penyelamatan yang dibantu oleh PBS Betong dan api terkawal sepenuhnya pada pukul 3.55 pagi,” katanya di sini hari ini.
Vincent menambah, siasatan awal mendapati tiada penghuni yang berada di dalam bangunan tersebut semasa kebakaran itu berlaku.
Katanya, selain bomba, pasukan polis, Sesco turut berada di lokasi kejadian untuk membantu.
“Buat masa ini, bomba masih menyiasat jumlah kerugian dan punca kebakaran tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily