Penduduk di Bau gempar dengan penemuan mayat lelaki dalam sebuah beg

Kelihatan beg yang di dalamnya terdapat mayat seorang lelaki.

Oleh Dean Adam

BAU, Julai 19: Penduduk di Kampung Pangkalan Bau, di sini, gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang disimpan di dalam sebuah beg yang ditemui di bawah jambatan berhampiran kampung tersebut petang tadi.

Menurut sumber, penduduk kampung telah menemui beg tersebut dalam keadaan terapung dan mencurigakan.


Katanya, apabila beg itu ditarik ke tebing sungai, didapati terdapat darah keluar dari beg tersebut.

“Panik melihat keadaan itu, penduduk kampung berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut

“Pihak bomba juga telah dimaklumkan dengan penemuan beg berwarna hitam tersebut sebelum mereka membawa naik beg tersebut dari sungai dan diletakkan di tebing untuk tindakan selanjutnya,” katanya, di sini, malam ini.

Pasukan bomba mengangkat beg yang di dalamnya terdapat mayat seorang lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon, mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat di dalam beg berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat mayat lelaki memakai pakaian warna hitam, seluar warna coklat dan kepala dililit dengan pita pelekat berwarna kuning.

“Setakat ini, identiti mayat lelaki tersebut masih belum dikenalpasti. Pihak Forensik IPK telah berada di tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily