Pencarian untuk lima pemancing hilang masih diteruskan

Anggota operasi mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa.
Advertisement

KUCHING, 4 Okt: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk lima pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Santubong kerana masih belum pulang ke jeti seperti yang dijadualkan diperluaskan kawasan pencariannya.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata identiti kelima-lima mangsa sudah dikenalpasti.

Katanya, mereka adalah Khamizan Saidi,40 tahun, Ng Ching Hui,36 tahun, Christoper Teo, 32 tahun, Yap Tze Kang, 41 tahun dan Leo Dy Lee Jiann Tarn berusia 35 tahun.

Advertisement

“Aduan diterima pada jam 7.00 pagi, 3 Oktober 2021.

“Sejurus menerima laporan, MRSC Kuching mengaktifkan Operasi CARILAMAT dan menyalurkan maklumat kepada agensi yang berkaitan serta komuniti sekitar berkenaan dengan kejadian tersebut.

“Menurut pengadu, bot telah keluar dari Jeti 98 Fishing Village pada jam 5 petang, 1 Oktober 2021 dan tidak dapat dihubungi sebelum pengadu bertekad untuk membuat laporan polis kerana khuatir akan keselamatan mereka yang masih berada di laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat jam 3 petang hari ini, tiada petunjuk baharu ditemui dan hanya boya berwarna oren ditemukan pada jarak 34.5 batu nautika dari Muara Sungai Santubong dan disahkan oleh pemilik bot semalam.

“Keadaan cuaca pada hari ini sedikit berangin dengan kelajuan 20 hingga 30kmsj, dengan laut berombak 1.0 hingga 1.5 meter.

“Keluasan pencarian pada hari ini merangkumi seluas 101 batu nautika persegi dan melibatkan aset Maritim Malaysia bagi pencarian di laut dan tiga buah aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Beachcraft King Air B300, Helicopter Ecureuil AS355N serta Pesawat Cessna Caravan C208 bagi pencarian melalui udara.

“Beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian,” katanya. — DayakDaily

Advertisement