Penanaman algae dibangunkan di Gedong

Abang Johari pada Mesyuarat Projek Agrihub di Gedong. Foto kredit: UKAS

KUCHING, 3 Feb: Gedong bakal dibangunkan sebagai salah satu kawasan penanaman algae yang baharu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata Chitose Group dari Negara Jepun akan meletakkan Gedong sebagai kawasan penanaman algae.

“Perkara lain ialah kita telah mengenalpasti untuk kita mengeluarkan, menanam dan membangunkan algae.


“Chitose yang mempunyai loji perintis di Sejingkat akan meletakkan pengeluaran algae di kawasan Gedong ini kerana mempunyai tanah yang sesuai untuk membangunkan dan mengeluarkan algae,” jelas Abang Johari.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Projek Agrihub @ Gedong di sini pada Sabtu.

Tambah Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, pengeluaran algae di kawasan tersebut akan mengkhususkan produk-produk seperti makanan, farmaseutikal dan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).

“Algae ini akan menjadi bahan untuk mengeluarkan produk makanan, farmaseutikal dan juga SAF.

“Kawasan penanaman algae di Gedong ini akan meliputi kawasan sebesar 100 hektar di mana Chitose akan membuat kajian di sini, menjadikan ia makmal untuk tujuan perniagaan ke seluruh dunia,” jelas beliau lagi. — DayakDaily