Pemuda mengamuk kerana tidak diberi RM20

Suspek (tengah) diberkas JSJ IPD Miri.

MIRI, 1 Mei: Gara-gara duit RM20 , seorang pemuda dari Pujut Corner di sini sanggup hendak memukul ayah kandungnya sendiri menggunakan batang besi.

Kejadian dilaporkan berlaku pagi Ahad (1 Mei) di rumah pengadu sekitar jam 11 pagi.

Mujur dalam kejadian itu, pengadu berusia 62 tahun itu sempat melarikan diri.

Pengadu telah tampil ke Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 2.30 petang.

Bertindak daripada laporan pengadu itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah melancarkan Ops Kesan/Ops Aidilfitri dan menahan suspek berusia 22 tahun itu di kediaman keluarganya di Jalan Pujut Corner, kurang satu jam selepas dimaklumkan kejadian.

Polis turut merampas sebatang besi dengan ukuran panjang 1 meter dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan tangkapan.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily