Pemuda maut, motosikal rempuh tiang rumah

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.

Oleh Dean Adam

BAU, Jun 30: Seorang pemuda menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang terbabas lalu merempuh tiang rumah di KM14, Jalan Kampung Tabung Apar, Singai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa, Mark Advent Dominic, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sudoh dari arah Pusat Redeems.

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang rumah di Kampung Tabung Singai.

“Akibat dari pelanggaran itu, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan Hospital Bau.

“Mangsa maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian dalaman badannya,” katanya di sini hari.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily