Pemuda dilaporkan hilang dipercayai terjun sungai

Anggota bomba melakukan operasi SAR di Sungai Batang Kayan, Lundu.
Advertisement

LUNDU, Mei 26: Seorang pemuda dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Batang Kayan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Mohamad Norrahim Hipni, 20-an.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Lundu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.37 pagi.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan enam anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Maklumat dari rakan mangsa menyatakan ada ternampak seorang mangsa lelaki telah terjun ke dalam Sungai Batang Kayan di Pangkalan Haji Mahyan.

“Penduduk kampung bersama keluarga mangsa juga berusaha mencari di lokasi, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, pihak bomba bersama polis serta penduduk kampung melakukan pencarian menggunakan kaedah di permukaan air di sekitar lokasi mangsa terjun.

“Setakat ini mangsa masih belum dijumpai,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement