Pemuda berusia 24 thn ditahan polis disyaki mencuri susu tepung bayi

Suspek (tiga dari kiri) ditahan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Oleh Brad Rantayy
MIRI, 12 Sept: Perbuatan seorang lelaki mencuri tiga tin susu tepung bayi bernilai RM294 dari sebuah kedai penjagaan kesihatan di Miri Times Square Parkcity petang Sabtu membawa padah apabila dia dicekup polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, penahanan suspek berusia 24 tahun itu dilakukan susulan satu laporan polis, selepas suspek masuk ke dalam premis terbabit dan melarikan barangan tersebut.

Tiga tin susu tepung bayi yang dilaporkan dilarikan adalah jenis Ensure Gold, Wheat dan Vanilla dengan berat 850g setiap satu.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri di sebuah rumah di Jalan Maigold Taman Desa Senadin sekitar jam 8 malam pada hari yang sama.

Suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang pada Sabtu itu, turut dirakam CCTV premis terbabit.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — DayakDaily