This Content Is Only For Subscribers
BINTULU, 11 Jun: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin pemimpin-pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mampu bersama kerajaan membangunkan negeri dan negara.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, PDP dibawah pimpinan Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing mampu menyesuaikan diri dengan senario politik masa ini.
“Saya nampak mesyuarat berjalan dengan lancar dan baik, mereka sudah mempunyai satu jawatankuasa yang saya yakin boleh menyesuaikan diri dengan perubahan politik.
“Dimana politik kita ialah platform untuk kita membangunkan negeri, negara dan masyarakat,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP 2023 di Restoran Dinner World, Bintulu Sentral hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata PDP akan terus memainkan peranan dalam merangka dan melaksanakan pembangunan Sarawak.
Katanya, ekonomi dunia sekarang sudah berubah dan Sarawak perlu ada dasar bagi menghadapi perubahan ini.
“Sebab itu pendirian GPS kita mahukan perubahan, Sarawak tumpukan kepada peralihan ekonomi.
“Iaitu ke arah ekonomi baru menggunakan teknologi terkini dan menggunakan sumber negeri, ” ujar Abang Johari.
Pada Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP 2023 kali ini, Tiong kekal dilantik sebagai Presiden Parti.
Adun Tasik Biru yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep dilantik (tiada pertandingan) sebagai Timbalan Presiden.
Manakala Adun Marudi Datuk Pengguang Manggil dilantik Naib Presiden Kanan I dan Adun Meluan Roland Duat dilantik Naib Presiden Kanan II.
Perhimpunan juga telah melantik MP Baram Dato Anyi Ngau sebagai Setiausaha Agong PDP, menggantikan Datuk Nelson Balang Rining.
Lebih 600 perwakilan dan pemerhati hadir ke Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP di Restoran Dinner World di Bintulu Sentral mulai 8 hingga 10 Jun. — DayakDaily