Pemilik kantin hilang punca rezeki akibat kebakaran

Anggota bomba melakukan operasi 'overhaul' kebakaran sebuah kantin.

MIRI, Sept 8: Seorang pemilik kantin hilang tempat mencari rezeki apabila premis perniagaan milikinya di Ladang Saremas, KM 115, Jalan Lama Miri-Bintulu, musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan sebuah kantin binaan bahan kayu telah terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihak bomba hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.22 tengah hari.

Katanya, sejurus mendapat maklumat insiden tersebut, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan Bomba Sukarela Batu Niah juga diarahkan ke tempat lokasi bagi membantu operasi tersebut.

“Namun, apabila sampai, pasukan bomba mendapati kantin berkenaan sudah ranap dijilat api,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, pasukan bomba terus menggunakan satu aliran saluran bantu mula, air dari tangki jentera bagi memadam bara api sehingga padam sepenuhnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Operasi ‘overhaul’ selesai sepenuhnya pada pukul 3.30 petang.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily