KUCHING, 10 Mac: Pemeriksaan Kesihatan dan Pergigian Percuma sempena Program Jiwa Murni sempena Hari Tentera Darat ke-88 di Kampung Gedong, Simunjan telah diadakan selama dua hari iaitu 8 hingga 9 Mac.
Difahamkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian telah dilakukan oleh empat pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat dari pasukan Batalion Pertama Perubatan dan 609 PGAT Semenggo bertempat di Dewan Masyarakat Gedong.
Progran tersebut adalah bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu warga Kampung Gedong untuk mendapat pemeriksaan kesihatan dan rawatan sekaligus mengeratkan hubungan yang sedia terjalin sebelum ini.
Pemeriksaan telah dijalankan dengan jayanya menepati norma baharu.
Seramai 96 orang pesakit yang hadir terdiri dari 41 orang lelaki dan 35 orang perempuan bagi pemeriksaan kesihatan manakala 15 orang lelaki dan lima orang perempuan bagi rawatan pergigian.
Jumlah pesakit dihadkan kepada tujuh orang dalam satu masa demi memastikan penjarakan sosial terjamin.
Selain itu, Pasukan Rawatan Bergerak juga diwujudkan untuk mengunjungi rumah-rumah warga yang tidak dapat menghadirkan diri ke pusat pemeriksaan.
Pasukan yang terdiri dari satu pegawai dan tiga anggota telah bekerjasama dengan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kampung Gedong untuk diatur gerakan bagi tujuan ini. — DayakDaily