Pembunuh Bill Kayong dijatuhkan hukuman gantung sampai mati

Anggota polis mengiringi tertuduh selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Miri.

MIRI, Ogos 10: Tertuduh kes bunuh Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong, yang ditembak mati di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri-Kuala Baram pada Jun 2016, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Miri di sini hari ini.

Hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh, Mohamad Fitri Fauzi, 30, dijatuhkan oleh Hakim Ravinthran N Paramaguru selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Berdasarkan kertas kes pertuduhan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nur Nisla Abdul Latif, tertuduh didakwa membunuh Bill Kayong di persimpangan lampu isyarat Jalan Miri-Kuala Baram pada 21 Jun 2016.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, Bill Kayong, 43, sedang memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin untuk ke pejabat di Permyjaya. — DayakDaily