Pembinaan lima menara telekomunikasi di Ngemah siap

Anyi (lima dari kanan) di Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Panjang baharu Rumah Jimmy Jarau di Nanga Lakah. Foto: Ukas

KUCHING, 14 Nov: Pembinaan lima menara telekomunikasi di Ngemah bagi kemudahan Internet penduduk sekitarnya kini sudah siap sepenuhnya.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Adun Ngemah Anyi Jana berkata, kini terserah kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memanfaatkan kemudahan itu.

Katanya, beliau bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kuching selepas beliau dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-12 pada 2021.


“Saya meminta menara baharu untuk kawasan Ngemah dan mereka memberi saya sembilan menara.

“Daripada sembilan, saya memperuntukkan lima menara untuk Sungai Ngemah dan empat menara untuk kawasan Nibong/Tada.

“Pembinaan kelima-lima menara untuk Sungai Ngemah telah siap dan kini terserah kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memanfaatkan kemudahan itu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Panjang baharu Rumah Jimmy Jarau di Nanga Lakah di Ulu Sungai Ngemah pada Isnin (13 Nov).

Menurut Anyi, projek itu menghadapi sedikit masalah di bahagian Nibong/Tada.

Beliau berkata pembinaan salah satu menara itu masih belum selesai kerana isu tanah.

Sementara itu, Anyi menasihatkan Tuai Rumah Magal dari Lubok Tanjung supaya menulis surat permohonan bagi memohon perkhidmatan jalur lebar di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela).

Katanya, beliau akan membantu penduduk rumah panjang untuk memajukan permohonan itu kepada SKMM. — DayakDaily