Pembinaan hospital baharu di Simunjan antara keutamaan — Lukanisman

Lukanisman menyampaikan hamper kepada salah seorang ibu di Wad Bersalin Hospital Simunjan

Oleh Chris Bishop

SIMUNJAN, 7 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima cadangan berhubung pembinaan hospital baharu di Simunjan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, cadangan tersebut diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).


“Ia adalah berhubung keperluan hospital baharu di Simunjan.

“Tapak tanah bagi hospital baharu ini sudah dikenalpasti dan kita mempunyai 2 pilihan tapak,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke Hospital Simunjan hari ini.

Namun begitu tambah Lukanisman, cadangan projek tersebut terlebih dahulu perlu disenaraikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-4.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada projek-projek yang sangat mendesak seperti Hospital Baharu Simunjan.

Menurut beliau lagi, JKNS telah mengemukan 18 cadangan projek kepada Kementerian.

“Projek-projek ini akan disenarai pendek, kita menunggu keputusan positif setelah mesyuarat berkenan pemilihan projek Rancangan Malaysia diputuskan dalam tempoh berapa bulan akan datang,” ujar Lukanisman. — DayakDaily