KUCHING, 27 Nov: Projek Pembinaan Flyover Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu yang bernilai RM137.7 juta akan bermula secara rasmi pada 3 Dis.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan iaitu jangkaan tarikh siap adalah pada 2 Dis 2024.
Katanya, projek pembinaan flyover ini telah diluluskan pada 2015 melalui kajian dan secara fizikal oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 25 Okt 2019 tersenarai di bawah Rolling Plan 4 (2020), Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RP 4 (2020) RMKe-11).
“Projek ini melibatkan skop pembinaan flyover empat lorong dua hala mengikut piawaian U5 di Jalan Medan Jaya–Jalan Tun Hussein Onn.
“Selain itu, skop pembinaan termasuklah kerja menaik taraf Jalan Tun Hussein Onn, daripada empat dan enam lorong dua hala kepada lapan lorong dua hala sepanjang 1.9km dan menaik taraf Jalan Kidurong enam lorong dua hala sepanjang 700m,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Flyover Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu hari ini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut berkata objektif utama projek ini adalah untuk mengurangkan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak yang terjana oleh pembangunan pesat di kawasan tersebut di samping menaik taraf jaringan jalan raya yang akan merangsang perkembangan ekonomi setempat di Bandar Bintulu.
Pembinaan flyover juga dijangka akan mengurangkan tempoh perjalanan selama 30 minit ke 15 minit dari Taman Tinggi ke Pusat Bandar Bintulu.
Turut hadir adalah Menteri Muda Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak, Datuk Julaihi Narawi serta Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China. — DayakDaily