Pembeli rumah Borneo Samariang Garden lega projek siap, ucap terima kasih kepada kerajaan negeri

Jawatankuasa hari ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Utiliti Dan Komunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junadi.

KUCHING, 14 Nov: Pembeli perumahan teres 1 tingkat B23 (Fasa 5) Borneo Samariang Garden mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak diatas komitmen kerajaan Sarawak dalam usaha untuk menyiapkan projek sakit tersebut.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Pembeli Perumahan Teres 1 Tingkat B23 (Fasa 5), Borneo Samariang Garden Mohd Zulfika Abdolkader berkata, kejayaan adalah bertitik tolak daripada mandat dan komitmen yang diberikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Penyelesaian kepada projek sakit ini adalah satu kemenangan yang besar untuk kita dan kemenangan ini adalah kemenangan rakyat.


“Komitmen yang diberikan oleh ahli JBPF5 adalah merupakan kunci kepada kejayaan besar kita pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zulfika, kesemua gerakerja dan desakan yang dibuat jawatankuasa telah diputuskan secara kolektif serta dilaksanakan secara matang, professional.

Katanya, ia berasaskan fakta walaupun pada awalnya masalah ini dilihat sebagai isu yang mustahil untuk diselesaikan.

Dalam pada itu, Zulfika mengingatkan bahawa masih terdapat lebih kurang 700 pembeli lagi (untuk Perumahan Fasa 7, Spektra 1 dan 2) yang masih belum mengetahui nasib rumah mereka.

“Jawatankuasa berharap agar pihak kerajaan Sarawak melalui agensi dan kementerian berkaitan meletakkan komitmen yang tinggi bagi menyelesaikan isu yang sukar ini,” ujarnya. — DayakDaily