Pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup akan dilaksanakan Jan 28

Lim Guan Eng

KUCHING, Jan 24: Kerajaan pusat akan melakukan pembayaran fasa pertama Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 kepada isirumah dari golongan B40 pada Januari 28 depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata atas keperihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pembayaran BSH dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isirumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isirumah.

“Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke akaun bank mereka,” katanya dalam kenyataan medianya yang disiarkan dalam laman Facebook Kementerian Kewangan Malaysia, hari ini.

Lim berkata ini setelah kerajaan dalam Ucapan Belanjawan 2019 akan meneruskan program BSH dan pembayarannya terpaksa mengunakan pangkalan lama dan kaedah lama.

Katanya pihak kerajaan terpaksa mengunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan pembayaran dibuat sebelum Febuari 2019.

“Proses pemutihan yang akan mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya.

Setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan mengunakan kaedah baru seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Lim berkata proses kemaskini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih tersasar dan bergantung kepada saiz isirumah.

“Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,”katanya. — DayakDaily