Pembayaran bil elektrik lampu jalan dikongsi kerajaan negeri dan persekutuan, kata MP Puncak Borneo

Willie (tiga dari kiri) bersama orang ramai yang menghadiri majlis perasmian cawangan kedai pertama Nang Ori di Kuching Sentral.

KUCHING, Feb 16: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin meminta kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menanggung 50 peratus bil elektrik bagi lampu jalan yang akan dipasang sepanjang Jalan Puncak Borneo, Padawan, di sini.

“Secara lazimnya memang pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri di negara ini yang akan membayar 50 peratus (bil elektrik lampu jalan) dan selebihnya dibayar kerajaan persekutuan,” katanya selepas merasmikan cawangan kedai pertama produk Nang Ori di Kuching Sentral, di sini, hari ini.

Willie berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang yang peruntukan sebanyak RM3 juta dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pemasangan lampu jalan itu tahun lepas akan tidak mencukupi kerana tidak merangkumi pembayaran bil elektriknya.


“Saya telahpun telah menghantar pesanan teks kepada YB Lo (Khere Chiang) pagi tadi untuk memberi penjelasan dan beliau memaklumkan akan memeriksanya dengan kakitangan MPP, dan mungkin terlepas pandang perkara itu,” katanya.

Willie mendedahkan kerajaan pusat melalui KPKT juga menanggung sebanyak 50 peratus kos bil elektrik yang perlu ditanggung pihak berkuasa tempatan di negara ini.

“Sehubungan itu, saya akan memastikan isu pembayaran bil elektrik lampu jalan bagi Jalan Puncak Borneo tidak akan mengganggu perlaksanaan projek pemasangan lampu jalan di sepanjang jalan terbabit yang sudah bermula,” katanya.

Willie berkata KPKT meluluskan keseluruhannya RM3 juta bagi melaksanakan projek pemasangan lampu Jalan Puncak Borneo tahun lepas dan sebanyak RM200,000 peruntukan tersebut sudah disalurkan kepada MPP untuk melaksanakan fasa pertama projek itu.

Beliau tiada butiran jumlah lampu jalan yang dipasang dalam projek itu dan menyerahkan kepada MPP tetapi lampu tersebut akan dipasang sepanjang jajaran jalan dari Batu 14 sehingga Kampung Annah Rais. Projek dijangka siap sepenuhnya tahun depan. — DayakDaily