Pembantu tadbir lesap RM150,000 ditipu ‘parcel scam’

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Nov 17: Lesap wang sebanyak RM150,000 begitu sahaja.

Begitulah yang terjadi ke atas seorang pembantu tadbir wanita yang kerugian RM150,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi bungkusan atau ‘parcel scam’.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, kejadian dilaporkan berlaku antara 8 Jan hingga 16 Nov lepas.

Katanya, mangsa yang berusia 47 tahun telah memasukkan wang berjumlah RM150,000 ke tujuh akaun bank mulai 8 Jan sehingga Jun lalu.

“Pada 16 Nov (semalam) mangsa telah menerima panggilan telefon daripada penama Mr Eric Lindberg menggunakan nombor 014-6130893.

“Suspek kemudian memberitahu supaya mangsa menjelaskan bayaran sebanyak RM10,000 sebelum pukul 12 tengah hari ini untuk melepaskan penama Alex Chong serta barang-barang yang dikirim oleh Alex Chong daripada pihak kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, sekiranya bayaran tersebut gagal dibayar, waran tangkap akan dikeluarkan ke atas mangsa kerana bersubahat dengan penama Alex Chong iaitu kesalahan pengubahan wang haram.

Katanya, mangsa yang mula menyedari telah ditipu sejak awal tahun kini kemudian nekad membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa dirinya.

“Secara keseluruhannya mangsa telah mengalami kerugian berjumlah RM150,000.

“Kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily