Pembantu kedai maut, langgar kon pembahagi jalan di Sibu

Keadaan motosikal mangsa di tempat kejadian.

SIBU, 26 Sept: Seorang pembantu kedai maut akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Deshon, di sini pada 24 September lalu.

Mangsa, 18 tahun, semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal dari arah Permai Sibu menuju ke Ulu Sungai Merah pada jam 7.30 malam.

Ketua Jabatan Siastaan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa bagaimanapun terlanggar kon pembahagi jalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV).

Ekoran itu, mangsa yang berasal dari Ulu Sungai Merah mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 11.30 malam hari yang sama.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily