Pembangunan semula Flat KMC menunggu pelan induk pembaharuan bandar — Timbalan Premier Dr Sim

Dr Sim ketika ditemui di Kuching hari ini (17 Jan 2023).

KUCHING, 17 Jan: Persekitaran Flat KMC di Padungan yang bakal dibangunkan menerusi konsep pembaharuan bandar kini menunggu Pelan Induk, kata Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

“Kita masih menunggu pihak konsultan sebab Premier Sarawak mahukan ia melibatkan pembaharuan bandar.

“Pembaharuan bandar di Kuching ada potensi melangkaui kawasan Flat KMC.


“Oleh sebab itu kita memerlukan konsultan untuk menyediakan satu pelan induk,” kata Dr Sim.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Penutupan Makmal ‘Strategic Affordable Housing’ di sebuah hotel di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, semua pihak terlibat harus mengadakan rundingan bersama pihak konsultan yang dilantik menyediakan pelan induk tersebut.

Katanya, banyak pihak tidak memahami pelan induk dan menganggap ia hanya melibatkan tanah dan bangunan.

“Itu pelan induk yang dipakai 30 tahun yang lalu dimana sekarang harus mengambil kira semua aspek.

“Kawasan mana yang dijadikan kawasan rumah mampu milik, kawasan komersial dan kawasan rekreasi, ” kata Dr Sim.

Persekitaran Flat KMC memiliki 22 blok bangunan dengan 531 unit rumah dan setiap satu bangunan dinamakan mengikut bandar-bandar di Sarawak. — DayakDaily