Pembangunan Pusat Kanser Sarawak disegera — Dr Sim

Dr Sim (tengah) pada sidang media di Miri pada Sabtu. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 7 Mei: Kerajaan Sarawak dan Pusat akan menandatangani satu perjanjian untuk memulakan Projek Pusat Kanser Negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kedua-dua pihak akan terus bekerjasama dalam menyegerakan inisiatif tersebut.

Kata Dr Sim, ini memandangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menawarkan dana sebagai pinjaman bagi mendirikan pusat kanser tersebut.

Advertisement

Jelasnya lagi, kos bagi pembinaan pusat itu akan menelan jumlah yang tinggi termasuk untuk keperluan peralatan perubatan.

“Kosnya bergantung pada sejauh mana yang akan kita buat. Ia antara RM800 juta hingga RM1.2 bilion kerana ini bermakna sama ada kita mahukan 300 katil atau 500 katil.

“Semua ini perlu diambil kira. Terdapat pihak yang tidak tahu dan mempersoalkan kos tersebut.

“Semuanya bergantung sama ada kita merancang untuk sekarang atau masa depan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘O-Arm Surgical Imaging System’ di Borneo Medical Centre (BMC) Miri pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa atas sokongannya terhadap pelaksanaan projek pusat kanser berkenaan yang dianggap mampu memberi manfaat kepada seluruh kepulauan Borneo. — DayakDaily

Advertisement