Pembangunan, kepentingan rakyat harus diutamakan, kata dua tuai rumah dari Engkilili

Tuai Rumah Meritian Meintang
Advertisement

ENGKILILI, Sept 3: Usah menyalahkan sesiapa mahupun mana-mana pihak demi untuk pembangunan rakyat di Engkilili, kerana kepentingan rakyat harus diutamakan, ujar tuai rumah dari Merindun, Engkilili Meritian Meintang .

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini sebagai balasan terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan tuai rumah di kawasan Engkilili yang menyatakan kenyataan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Micheal Tiang dan ahli Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Roy Gingkoi dari Engkilili masih mentah di dalam arena politik.

Seterusnya, Meritian menegaskan bahawa rakyat atau penduduk Engkilili lebih memahami keadan situasi politik kini di Engkilili.

Advertisement

“Usah menyalahkan sesiapa mahupun mana-mana pihak demi untuk pembangunan rakyat di Engkilili. Kepentingan rakyat harus diutamakan. Rakyat lebih memahami siapa yang boleh menerajui mereka dan memenuhi kehendak rakyat di Engkilili.

“Biarlah rakyat yang memilih, apatah lagi, selama ini kerajaan Sarawak-lah telah lama menyalurkan dana melalui wakil mereka (pada ketika itu) demi pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Engkilili. Rakyat sudah memahami dan biarlah rakyat yang memilih. Biarkan politik di tangan ahli politik dan jangan mempolitikan rakyat,” jelas Meritian.

Kenyataan Meitian disokong oleh Tuai Rumah dari Tawai Ili, Engkilili, Nyambang Linang.

Tuai Rumah Nyambang Linang

“Saya tidak melihat apa-apa kesalahan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka (Tiang dan Roy) dalam media tempat tempoh hari kerana kenyataan yang mereka keluarkan berdasarkan fakta apa yang telah berlaku pada masa sekarang di Engkilili,” jelas Nyambang.

“Daripada menuding jari ke mana-mana pihak, lebih baik tuai rumah-tuai rumah menekankan isu-isu seperti perlanjutan sijil tuai rumah, isu masalah air dan sebagainya demi untuk rakyat Engkilili,’tambah beliau.

Nyambang juga berkata bahawa beliau juga hairan melihat akan segelintir tuai rumah mempentingkan diri tanpa “menjaga” hal ehwal rakyat atau nembiak (penduduk rumah panjang) yang kini kian serba kekurangan dan ketinggalan dari segi pembangunan.

Kedua-dua ketua kaum ini menyeru agar semua tuai rumah di Engkilili lebih fokus kepada kehendak dan pembangunan rakyat di Engkilili dan mereka berkata bersyukur bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil berat dan peka dengan isu-isu pembangunan dan kesejahteraan penduduk di Engkilili.

“Semua tahu keadaan politik sebenarnya yang berlaku di Engkilili pada masa sekarang, malah kita tahu memilih dan membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Bagi kami, tidak dinafikan bahawa kerajaan GPS Sarawak yang dapat dan mampu memberi dan meneruskan agenda perkembangan luar bandar terutamanya di Engkilili.

“Oleh itu, kami menyeru kepada semua rakyat di Engkilili untuk menyokong dan memilih wakil rakyat yang dipilih daripada parti GPS demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Engkilili,” ujar kedua-dua tuai rumah tersebut. — DayakDaily

Advertisement