BENTONG, 20 Feb: Kerja-kerja pembaikkan jalan dan cerun yang runtuh di laluan FT218 Seksyen 3.0, Jalan Lama Bentong–Raub, Pahang dijangka siap sepenuhnya pada 10 Jun depan.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM3 juta kini mendahului jadualnya dengan kerja-kerja fizikal berda pada tahap 24 peratus siap berbanding 19 peratus dalam jadual asal.
“Kini, kerja ditapak telah memasuki fasa pembaikan cerun dengan dengan kerja-kerja memperkukuh struktur tapak di kaki cerun telahpun dimulakan.
“Kerja-kerja “armour rock” sedang dijalankan dengan menggunakan bongkahan batu besar sebagai asas bagi kerja pembaikan cerun,” katanya menerusi satu kenyataan selepas melakukan pemantauan susulan ke lokasi laluan tersebut hari ini.
Fadillah berkata, pihak kontrator turut bertindak memasang kelengkapan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) termasuk papan tanda amaran, ‘speed limit sign’, ‘light weight movable barrier’, ‘blinker’, dan ‘string delineators’ ditapak kerja bagi memudahkan pembersihan sisa runtuhan dan penebangan pokok.
Katanya, kerja-kerja pengalihan sementara utiliti juga telah siap dilaksanakan hasil daripada mesyuarat bersama wakil Tenaga Nasional Berhad ( TNB), Telekom Malaysia Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
“Kesemua kerja-kerja ini telahpun dimulakan sejak 12 Januari lalu dan Pintas Utama Sdn Bhd merupakan kontraktor yang dipertamggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan dan cerun terbabit,” katanya.
Cerun tersebut dilaporkan runtuh pada 3 Januari lepas dan kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan berterusan dilokasi terbabit sekaligus mengakibat berlaku limpahan air dari pembentung paip bersaiz 1500mm diameter kepermukaan pavemen jalan lalu menyebabkan laluan sedia ada terputus sepenuhnya. — DayakDaily