Pembabitan ibu bapa penting untuk memperkasa pendidikan awal kanak-kanak – Tun Taib

Taib dan Raghad menerima buku tentang asuhan kanak-kanak dari Fatimah (kanan) selepas merasmikan konvensyen.
Advertisement

KUCHING, Okt 6: Kementerian keluarga dan pembangunan kanak-kanak Sarawak telah disarankan untuk memperkasakan pembabitan ibu bapa di dalam usaha menambah baik pendidikan generasi muda di negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud berkata kementerian tersebut harus mencari cara untuk meyertakan input ibu bapa dalam proses penambahbaikan.

Ini supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih mendalam dalam meyokong usaha kerajaan untuk menambahbaik sektor pembelajaran di negeri ini bermula dari peringkat pendidikan awal ke tahap pendidikan tinggi.

Advertisement

“Carilah bagaimana ibubapa boleh dikumpulkan bersama dalam mesyuarat antara golongan yang berminat dalam pembangunan pendidikan generasi muda di negeri ini dan juga perkara yang berlaku dalam program pendidikan negara ini, supaya kita (sebagai ibu bapa) boleh memain peranan menyokongnya,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan Prasekolah di sini, hari ini.

Di majlis itu, Taib juga menyampaikan Anugerah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2018 kepada pemenang.

Tempat pertama adalah Tabika Kemas Rumah Bundong, Kapit, yang menerima hadiah RM6,000, manakala tempat kedua ialah Prasekolah SK Telahak, Limbang, yang menerima RM5,000. Tempat ketiga ialah Tadika Bodhi, Kuching, yang menerima hadiah RM4,000.

Taib, Raghad dan Fatimah menyampaikan replika cek RM6,000 kepada wakil Tabika Kemas Rumah Bundong, Kapit (kanan).

Juga menghadiri majlis terbabit ialah Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Taib berkata sokongan dari ibu bapa amat penting kerana ketika ini, dunia semakin cepat berubah disebabkan pemodenan teknologi sehingga televisyen di rumah juga turut memainkan peranan dalam pendidikan awal kanak-kanak, seperti yang dialaminya dari pengalaman bersama cucu-cucu di rumah.

“Sejurus tiba di rumah terus mencapakkan beg dan melekat menonton televisyen. Pada mulanya saya merasa marah terhadap cucu saya kerana beranggapan mereka kurang memberi tumpuan kepada pelajaran, tetapi kemudian saya menyedari mereka juga banyak belajar dengan menonton televisyen berbanding saya ketika waktu muda dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyedari kanak-kanak ketika ini tidak ramai akan merasa takut atau malu apabila diarahkan menari atau membuat ucapan di khalayak ramai kerana sejak dari awal lagi sudah dibiasakan menanggap menuntut ilmu pengetahuan sebagai cara hidup mereka.

“Kalau saya (kanak-kanak) dahulu, terpaksa diheret (ibu bapa) ke sekolah dan hari pertama persekolahan hanya menangis kerana takut dengan apa yang sudah disediakan bagi memberi kita peluang belajar,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata pihaknya tertarik dengan pengunaan alat pengajaran berbentuk robot dan juga teknologi maklumat dan komunikasi oleh pra sekolah di negara Estonia.

Dalam lawatan kementerian itu ke negara terbabit baharu-baharu ini, pihaknya ditunjukkan pengunaan berbagai alatan berbentuk robot dalam pengajaran harian yang disediakan prasekolah bagi membantu kanak-kanak dalam pembelajaran matematik, sains dan kreativiti.

“Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga digunakan pihak pengurusan prasekolah bagi berkongsi rancangan pengajaran harian bersama ibubapa kanak-kanak melalui satu ‘website’ prasekolah,” katanya.

Fatimah berkata, melalui laman sesawang terbabit ibu bapa dapat mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak di prasekolah dan mengetahui apa dipelajari anak mereka hari itu serta memberi maklum-balas mengenai kemajuan anak mereka.

Malahan pihaknya mengkagumi sikap pendidik prasekolah di Finland dan Estonia dimana kanak-kanak dilayan sebagai seorang individu yang sama pentingnya seperti orang dewasa dan ini membolehkan kanak-kanak terbabit diberi ruang belajar dan memperkembangkan potensi diri berdasarkan potensi individu.

“Berdasarkan pembelajaran di negara terbabit, kementerian akan berusaha melaksanakan beberapa pelan pembangunan pendidikan awal kanak-kanak berlandaskan topik bagaimana kita boleh menginsankan penjagaan dan pendidikan di Sarawak,” katanya.

Pelan kedua ialah membangunkan satu pelan pendidikan bagi ibubapa terhadap memahami penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dengan mempromosi prinsip bermain adalah menyeronokkan dan bekerjasama dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bagi menubuhkan Pelan Pembangunan Teknologi Komunikasi dan Maklumat bagi guru prasekolah. — DayakDaily

Advertisement