Pemantauan dari udara menunjukkan aras air sungai menurun di kawasan banjir

Gambar menunjukkan Mohtar (dua dari kiri) dan anggota APM Sarawak melihat keadaan air sungai di bahagian Kuching mengunakan dron yang disiarkan dalam laman Facebook APM Sarawak.

KUCHING, Jan 21: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mendedahkan pemantauan udara unit dronnya mendapati semua air sungai di kawasan dilanda banjir di bahagian Kuching menunjukkan corak air yang menurun hari ini.

Pengarah APM Sarawak Kolonel Mohtar Samad berkata demikian tetapi tidak menolak kemungkinan jika hujan lebat masih berterusan di bahagian Kuching berkemungkinan air sungai akan naik kembali.

“Pihak APM telah mengarahkan unit dron APM memeriksa dan memantau lokasi air dari paras udara. Dari pemantauan unit itu mendapati air sungai (di bahagian Kuching) dalam keadaan menurun dan air mengalir surut dengan lancar,” katanya dalam laman Facebook APM Sarawak petang ini.


Gambar yang diambil oleh dron APM Sarawak untuk memantau keadaan paras sungai di bahagian Kuching, yang disiarkan dalam laman Facebook APM Sarawak.

Mohtar berkata APM Sarawak ketika ini membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk kampung yang di tengelami air banjir dan setakat ini kawasan itu ialah Kampung Sungai Batu, Kampung Sungai Lumut di daerah Kuching.

“Manakala di kawasan daerah Lundu ialah Kampung Sebat Dayak, Sebat Melayu, Sebat Baru, Kampung Temaga Dayak, Temaga Melayu, Kampung Paon, Kampung Sebako, Kampung Judin dan Kampung Serayan Cina,” katanya.

Beliau mendedahkan yang semua anggota dan pegawai APM Sarawak telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir di negeri ini sejak oktober tahun lepas. ā€” DayakDaily