KUCHING, Jan 21: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mendedahkan pemantauan udara unit dronnya mendapati semua air sungai di kawasan dilanda banjir di bahagian Kuching menunjukkan corak air yang menurun hari ini.
Pengarah APM Sarawak Kolonel Mohtar Samad berkata demikian tetapi tidak menolak kemungkinan jika hujan lebat masih berterusan di bahagian Kuching berkemungkinan air sungai akan naik kembali.
“Pihak APM telah mengarahkan unit dron APM memeriksa dan memantau lokasi air dari paras udara. Dari pemantauan unit itu mendapati air sungai (di bahagian Kuching) dalam keadaan menurun dan air mengalir surut dengan lancar,” katanya dalam laman Facebook APM Sarawak petang ini.
Mohtar berkata APM Sarawak ketika ini membuat pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk kampung yang di tengelami air banjir dan setakat ini kawasan itu ialah Kampung Sungai Batu, Kampung Sungai Lumut di daerah Kuching.
“Manakala di kawasan daerah Lundu ialah Kampung Sebat Dayak, Sebat Melayu, Sebat Baru, Kampung Temaga Dayak, Temaga Melayu, Kampung Paon, Kampung Sebako, Kampung Judin dan Kampung Serayan Cina,” katanya.
Beliau mendedahkan yang semua anggota dan pegawai APM Sarawak telah bersedia untuk menghadapi bencana banjir di negeri ini sejak oktober tahun lepas. ā DayakDaily