KUCHING, Ogos 17: Pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini mempunyai kesan positif dan negatifnya.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kedua-dua program yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini ada kelebihan tersendiri.
Jelasnya, kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan boleh memansuhkan PLKN sekiranya mendapati program seumpamanya memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
“Tetapi, kita yakin PLKN merupakan satu program yang baik bagi menyemai semangat patriotik, disiplin, integrasi dan perpaduan antara kaum.
“Namun, adalah perlu bagi kerajaan PH memansuhkan PLKN sekiranya kosnya terlalu besar untuk melaksanakan program itu,” katanya.
Abdul Karim menambah, tiada guna untuk melaksanakan kedua-dua program itu sekiranya kerajaan terpaksa menanggung beban dan hampir muflis seperti didakwa sesetengah pemimpin kerajaan PH.
Baru-baru ini kerajaan pusat telah memutuskan PLKN dan BTN dimansuhkan dan digantikan dengan program baharu yang dapat membentuk belia masa hadapan yang berwawasan dan tinggi nilai jati dirinya.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata program baharu itu yang diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat penstrukturan semula dari segi fungsi, perjawatan, peruntukan kewangan dan aset Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan BTN.
Pengisian program itu dirangka secara holistik dengan menggabungkan aktiviti indoor dan outdoor berimpak tinggi untuk menyerlahkan potensi anak muda sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Elemen yang diterapkan termasuklah ‘teambuilding’, pembinaan karakter dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri dan sosialisasi politik.
Penambahbaikkan ini selaras dengan hasrat KBS yang ingin terus mengangkat suara anak muda dalam landskap Malaysia baharu. Ia akan direalisasi dengan cadangan pindaan umur mengundi (dari 21 ke 18 tahun) pada PRU ke-15 nanti. — DayakDaily