Pemansuhan larangan eksport ayam telah dibincang, tarikh akan diumumkan – Nanta

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Ogos: Perbincangan berhubung pemansuhan larangan eksport ayam telah diadakan diperingkat kementerian berkaitan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, larangan eksport perlu ditarik balik demi kepentingan pihak industri setelah bekalan domestik ayam kembali stabil.


“Seperti yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MAFI) kelmarin yang jelas mengatakan bahawa setelah bekalan domestik pulih, penternak akan dibenarkan mengeksport semula.

“Larangan eksport ini hanyalah sementara dan bukannya kekal. Belum diumumkan tarikh pemansuhan tetapi ia sudah dibincangkan.

“Jadi kita tunggu sahaja pengumuman menteri MAFI nanti, ” katanya di sidang media semasa lawatan ke tapak Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Perayaan Petra Jaya hari ini.

Menurut Nanta, KPDNHEP tidak mengawal eksport ayam dimana perbincangan perlu diadakan bersama Kementerian Ekonomi dan Mafi yang mengawal di peringkat ladang.

Dalam pada itu Nanta menggesa orang ramai datang ke PJKM yang menawarkan barangan dengan harga murah bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, PJKM menawarkan harga ayam RM8 seekor jika dibandingkan harga pasaran RM9.80 sekilogram. — DayakDaily