Oleh Dean Adam
BINTULU, Mac 10: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut selepas van yang dipandu bertembung dengan sebuah treler di Jalan Bintulu-Miri di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Ading Manggom.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.55 petang.
Jelasnya, apabila pasukan bomba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan nahas itu melibatkan sebuah van bertembung dengan treler membawa muatan simen.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu van itu dalam tersepit sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa.
“Pemandu treler tersebut hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangannya,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan bomba seterusnya membuat kerja-kerja menyembur serta membersih kawasan kemalangan dari sebarang unsur kemerbahayaan.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.50 petang,” katanya. — DayakDaily