Pemandu treler maut kereta rempuh pokok

Keadaan kereta mangsa yang merempuh sebuah pokok.

MIRI, Sept 9: Seorang pemandu treler maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu melanggar pokok di Jalan Kuala Baram By Pass di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Bayang Jamban, 35, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu kereta Proton Saga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pusat bandar raya ini.


Jelasnya, bagaimanapun apabila sampai di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah.

“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily