Oleh Dean Adam
BINTULU, Dis 1: Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan di Jalan Bulatan Taman Perindustrian Samalaju di sini lewat petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Usman Marading, 53, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.34 petang.
Sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati sebuah treler yang membawa muatan batu dalam keadaan terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa dalam keadaan tersepit di hadapan lori,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, anggota bomba kemudian berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya. — DayakDaily